Popular Tags

No tags to display. Try to select another taxonomy.

Hak Wanita Apabila Bercerai

Isu perceraian dalam kalangan wanita di Malaysia pada masa kini memperlihatkan perkembangan yang semakin kompleks, mencakupi pelbagai aspek merentasi dimensi perundangan, sosioekonomi, emosi dan budaya. Dalam persekitaran sosial yang sedang berubah, peningkatan kadar perceraian, khususnya dalam kalangan pasangan muda dan wanita yang aktif dalam sektor pekerjaan, memperlihatkan transformasi terhadap persepsi perkahwinan dan hak individu dalam institusi kekeluargaan.

Wanita kini lebih terbuka untuk tampil mempertahankan hak mereka apabila berlaku ketidakseimbangan dalam rumah tangga, termasuk pengabaian tanggungjawab oleh suami, penderaan emosi mahupun fizikal, serta ketiadaan nafkah yang sewajarnya. Meskipun keberanian ini wajar dipuji sebagai satu bentuk kesedaran hak dan keadilan, realitinya proses perceraian di Malaysia masih dibelenggu oleh pelbagai cabaran sistemik dan struktural yang memberi impak besar kepada wanita.

Terdapat 10 perkara penting yang harus difahami oleh wanita sebelum memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah, bagi memastikan tindakan yang diambil berlandaskan pengetahuan yang tepat serta mampu melindungi hak-hak mereka secara menyeluruh.

1. Wanita perlu mengetahui bahawa perceraian bukan semata-mata melalui lafaz talak oleh suami, tetapi boleh berlaku melalui pelbagai kaedah seperti melalui perceraian secara taklik, fasakh, khuluk, dan pengesahan cerai luar mahkamah.

Setiap bentuk perceraian ini mempunyai implikasi undang-undang, serta prosedur perundangan yang berbeza. Kegagalan memahami perbezaan ini boleh menyebabkan wanita keliru dalam membuat tuntutan hak selepas perceraian.

2. Wanita sering tidak menyedari bahawa mereka berhak menuntut nafkah tertunggak isteri yang tidak dibayar sepanjang tempoh perkahwinan dan juga nafkah anak.

Tuntutan ini merangkumi nafkah bulanan isteri dan nafkah tahunan isteri sepanjang dalam tempoh perkahwinan yang telah diabaikan (termasuk wanita yang berpoligami), nafkah semasa iddah selepas perceraian, dan juga nafkah bulanan dan nafkah tahunan perbelanjaan anak yang sepatutnya ditanggung oleh suami sebagai bapa kepada anak-anak tersebut. Nafkah tertunggak anak tersebut hendaklah dituntut selepas perintah nafkah anak dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tuntutan ini adalah sah di sisi undang-undang dan boleh difailkan bersama semasa tuntutan perceraian sedang berjalan mahupun selepas tuntutan perceraian tersebut selesai.

3. Aspek tempat tinggal semasa iddah dan hak terhadap harta sepencarian turut menjadi perkara penting yang sering diabaikan.

Seorang isteri berhak kekal menetap di rumah perkahwinan sepanjang tempoh iddah, manakala tuntutan terhadap harta sepencarian tidak berlaku secara automatik sebaik sahaja perceraian dimuktamadkan mahupun perintah kebenaran poligami dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Ia perlu difailkan secara berasingan dan disokong dengan bukti sumbangan masing-masing terhadap harta tersebut.

4. Wanita juga harus mengetahui hak mereka dalam penjagaan anak (hadhanah).

Walaupun ibu secara prinsipnya mempunyai keutamaan dalam menjaga anak kecil, mahkamah tetap akan menilai aspek kebajikan anak sebelum membuat keputusan muktamad. Oleh itu, menurut Undang-Undang Keluarga Islam hak penjagaan adalah diberikan kepada ibu kandung anak tersebut melainkan ibu tersebut tidak memenuhi kelayakan penjaga bagi anak tersebut. Tambahan lagi, terdapat juga susunan orang-orang yang berhak menjaga kanak-kanak tersebut sekiranya ibu tidak layak menjadi penjaga kepada anak tersebut.

5. Wanita digalakkan untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bertauliah.

Ramai wanita cuba menguruskan kes perceraian sendiri tanpa bimbingan profesional, yang akhirnya menyebabkan mereka terlepas tuntutan penting seperti mutaah, harta sepencarian, atau hak jagaan anak dan nafkah anak kerana tidak memahami prosedur perundangan yang betul.

6. Wanita juga berhak menuntut mutaah, iaitu saguhati selepas perceraian yang boleh dituntut walaupun suami tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menjadi asbab kepada perceraian pihak-pihak. Selain itu, sekiranya mas kahwin (mahr) belum diberikan sepenuhnya semasa perkahwinan, ia masih boleh dituntut selepas cerai melalui saluran yang sah.

7. Penceraian yang difailkan terlalu awal tanpa rundingan menyeluruh boleh menyulitkan tuntutan selepas cerai.

Sebagai contoh, jika isu pembahagian harta atau penjagaan anak belum diselesaikan, ini boleh menyebabkan wanita menghadapi kesukaran dalam mendapatkan hak selepas perceraian dimuktamadkan.

8. Bagi wanita yang ingin memfailkan cerai melalui fasakh, mereka perlu menyediakan bukti yang kukuh berkenaan penderaan fizikal, atau pengabaian nafkah.
Mahkamah tidak akan meluluskan permohonan semata-mata berdasarkan dakwaan tanpa sokongan bukti yang sah.

9. Dari sudut kos dan tempoh, proses perceraian mungkin mengambil masa yang lama, terutamanya jika disertakan dengan tuntutan tambahan seperti nafkah, hadhanah atau harta sepencarian. Walaupun ada kes yang selesai dalam dua hingga tiga bulan, tidak mustahil kes tertentu mengambil masa bertahun-tahun, dengan kos guaman yang boleh mencecah ribuan ringgit.

10. Wanita perlu sedar bahawa sistem Mahkamah Syariah turut menyediakan ruang untuk sulh atau runding cara antara suami isteri bagi melibatkan tuntutan nafkah anak, nafkah tertunggak isteri, nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian dan hak jagaan anak. Proses ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos, malah membolehkan pasangan menilai semula keputusan mereka dengan lebih matang. Jika rundingan tidak berhasil, maka wanita boleh meneruskan tuntutan secara teratur dan profesional.

Kesedaran terhadap kesemua aspek ini amat penting bagi memastikan setiap wanita membuat keputusan yang bijak, berdasarkan maklumat dan pemahaman yang menyeluruh terhadap hak dan prosedur yang tersedia dalam sistem perundangan syariah.

Nurul Ai Li Binti Baharuddin(Peguam Syarie)
Dato’ Nazri Bin Mustafa
NAI HANAN & PARTNERS

By Published On: August 8th, 2025Categories: PerceraianComments Off on Hak Wanita Apabila Bercerai

Share This Story, Choose Your Platform!